MINDA TOK ABAH: Antara dasar dan falsafah pendidikan negara

SETIAP kali isu pendidikan dibangkitkan, reaksi masyarakat lazimnya datang dalam bentuk yang sangat emosional. Ada yang menyokong dengan penuh harapan, ada yang membantah dengan penuh kebimbangan. Hakikatnya, kedua-dua reaksi ini lahir daripada satu sumber yang sama iaitu keinginan untuk melihat masa depan anak-anak negara berada di landasan yang betul.

Perbahasan mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 dan beberapa isu berkaitan, termasuk soal kemasukan murid ke Tahun 1, wajar dilihat melangkaui hiruk-pikuk polemik semasa. Ia perlu didekati sebagai perbincangan tentang hala tuju negara, bukan sekadar tentang satu atau dua dasar terasing.

Sering kali kita terlupa bahawa usaha merangka pelan jangka panjang pendidikan bukanlah sesuatu yang baharu. Wacana mengenai keperluan sebuah blueprint pendidikan nasional telah berlangsung sejak beberapa tahun lalu melalui sesi libat urus, kajian dan perbincangan melibatkan kementerian, agensi berkaitan, institusi pendidikan serta warga pendidik.

Atas asas itu, sukar untuk menerima dakwaan bahawa Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 digubal secara tergesa-gesa atau tanpa pertimbangan pihak berkepentingan, kerana proses pembentukan dasar lazimnya panjang, kompleks dan berlapis, merangkum dapatan kajian, pengalaman lapangan serta aspirasi nasional.

Suatu hakikat yang perlu difahami, blueprint ini bukanlah milik peribadi menteri, ia merupakan satu dokumen dasar. Menteri Pendidikan menyediakan kepimpinan dan hala tuju strategik, tetapi pelaksanaan sebenar dasar berkenaan diterjemahkan oleh barisan profesional dalam sistem pendidikan termasuklah mereka yang telah lama bergelumang dengan hakikat persekolahan, bilik darjah dan pembangunan kurikulum.

Dalam kalangan pendidik sendiri, terdapat pelbagai aliran pemikiran tentang pendekatan terbaik dalam pendidikan. Ada yang cenderung kepada pendekatan akademik tradisional, pedagogi progresif, dan ada yang menekankan pendidikan berasaskan kemahiran. Perbezaan ini bukan baharu, dan sehingga kini tiada satu pun negara di dunia yang memiliki kesepakatan mutlak tentang ‘formula sempurna’ pendidikan.

Maka, Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 wajar dilihat sebagai usaha mencari titik temu kepada pelbagai pandangan yang telah melalui proses pematangan. Rancangan ini bukanlah menjanjikan kesempurnaan, tetapi menawarkan satu kerangka besar sebagai panduan bersama.

Lalu, mengapa kita perlu mendokong rancangan pendidikan ini, sedangkan ruang penambahbaikan sentiasa wujud? Jawapannya mudah tetapi mendalam. Menyokong ‘blueprint’ pendidikan tidak bermaksud kita menutup mata terhadap kelemahan, sebaliknya ia bermaksud kita mengiktiraf keperluan kepada satu kompas nasional, pada masa sama menuntut pelaksanaan yang lebih kemas, telus dan berkesan.

Banyak kritikan yang muncul sebenarnya lebih menjurus kepada soal pelaksanaan; kekeliruan komunikasi atau ketidaksamaan kesiapsiagaan. Isu nyata ini memang tidak boleh dinafikan namun, ia tidak seharusnya diterjemahkan sebagai penolakan terhadap keseluruhan rancangan.

Dalam sistem yang melibatkan ribuan sekolah dan ratusan ribu guru, sudah pasti jurang antara tujuan dasar dan realiti pelaksanaan sentiasa wujud dan sentiasa menjadi perhatian. Yang membezakan sistem yang matang dengan yang gagal ialah kesediaan untuk membetulkan jurang tersebut. Apa pun bentuk pembaharuan yang diperkenalkan, akhirnya semua perlu kembali kepada asas paling fundamental dalam pendidikan negara, iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Falsafah ini dirangka ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Pendidikan. Ia lahir daripada kesedaran bahawa pendidikan tidak boleh dibina semata-mata atas keperluan ekonomi atau kehendak pasaran, tetapi mesti berpaksikan pada pembinaan insan. Tiada negara yang membangunkan sistem pendidikan tanpa falsafah. Falsafah inilah yang menjadi ‘akidah’ kepada keseluruhan ekosistem pendidikan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menegaskan bahawa pendidikan ialah proses mengembangkan potensi insan secara menyeluruh dan bersepadu. Ia merangkumi dimensi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan kata lain, matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan pekerja yang cekap, tetapi manusia yang berfikir, berakhlak dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negaranya.

Dalam kerangka ini, Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 seharusnya dinilai berdasarkan sejauh mana ia kekal setia kepada falsafah tersebut. Selagi prinsip asas ini dipertahankan, perbezaan pandangan tentang pendekatan dan mekanisme pelaksanaan wajar diraikan sebagai sebahagian daripada proses penambahbaikan.

Reformasi pendidikan bukan soal siapa betul atau siapa salah. Ia merupakan perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan keberanian untuk berubah.

Yang diperlukan oleh rakyat hari ini bukan lagi janji-janji kesempurnaan, tetapi keyakinan bahawa setiap pembaharuan dibuat secara berfikir, berperingkat dan berpaksikan kepentingan terbaik anak-anak Malaysia.

Di situlah sepatutnya perbahasan kita bermula, dan di situlah juga sepatutnya ia berakhir.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Jika bukan Anwar, maka siapa?

DALAM politik, mengkritik sentiasa mudah. Terlalu mudah. Setiap hari kita melihat suara-suara yang mempersoalkan kepimpinan, mengkritik dasar, dan mempertikaikan keputusan kerajaan. Namun di sebalik semua kritikan itu, satu soalan besar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta

SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta

Tujuh lelaki warga asing ditahan cuba ceroboh sempadan

Tujuh lelaki warga asing ditahan cuba ceroboh sempadan

Malaysia tegas lindungi kepentingan rakyat dalam dunia tidak menentu

Malaysia tegas lindungi kepentingan rakyat dalam dunia tidak menentu

Perasmian MRSM Dungun perkukuh agenda STEM, lahir generasi Ulul Albab

Perasmian MRSM Dungun perkukuh agenda STEM, lahir generasi Ulul Albab

Ops Tiris 4.0: Pasukan petugas khas Sabah dan Labuan ditubuh bagi perkukuh penguatkuasaan

  • By Ynom
  • April 20, 2026
Ops Tiris 4.0: Pasukan petugas khas Sabah dan Labuan ditubuh bagi perkukuh penguatkuasaan

JPJ Melaka sita 5 kenderaan mewah nilai RM2.2 juta

JPJ Melaka sita 5 kenderaan mewah nilai RM2.2 juta