
KINABATANGAN – Suara dan aspirasi peniaga kecil di Pasar Awam Kinabatangan akan dihimpunkan ke meja perbincangan bersama pihak berkepentingan serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob (Miha) berkata, usaha ini bagi menangani isu harga pemasaran hasil, kemudahan pasar dan kebajikan peniaga secara lebih menyeluruh serta berkesan.
“Jika diberi mandat, saya akan bawa aspirasi peniaga kepada pihak berwajib supaya isu diteliti, diselesaikan melalui saluran berautoriti.
“Pendekatan ini juga agar keputusan dibuat berpaksikan keperluan rakyat dan manfaat jangka masa panjang,” katanya kepada media selepas walkabout di Pasar Awam Kinabatangan, pada Rabu.

Menurut Miha, dengan kesepaduan, sokongan padu rakyat serta keterbukaan semua pihak, pasar awam Kinabatangan diyakini akan terus kekal sebagai pusat ekonomi rakyat yang berdaya saing dan menjadi nadi penting kepada pembangunan ekonomi setempat.
“Perjuangan membangunkan Pasar Awam Kinabatangan adalah hasil usaha dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu yang benar-benar memahami denyut nadi peniaga kecil.
“Mereka telah membuka ruang dan peluang agar suara rakyat khususnya peniaga dapat diketengahkan dan dibela,” ujarnya.




