
TENOM – Pelbagai program berimpak tinggi dirancang sempena Tahun Melawat Daerah Tenom (MDT) 2026 bagi merancakkan sektor pelancongan serta meningkatkan kehadiran pelancong ke daerah pedalaman itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perancangan berkenaan selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia dan memberi fokus kepada pengukuhan tarikan sedia ada di Tenom.
“Perancangan ini bertujuan menetapkan hala tuju pembangunan pelancongan daerah selain merangka pengisian program yang mampu memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat.
“Antara program utama yang dirancang ialah Pesta Kopi Tenom Sabah, Pesta Kalimaran, Pesta Kebudayaan Pedalaman Atas, Pesta Bot Naga, Program Hiking Tenom 2026 serta Tenom Campfest 2026,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Jelasnya, pelaksanaan program ini bukan sahaja untuk menarik kehadiran pelancong, ia juga turut mempromosikan produk tempatan serta keunikan budaya dan alam semula jadi di Tenom.
“Usaha bersepadu semua pihak diyakini mampu mengangkat Tenom sebagai destinasi pelancongan utama pada masa akan datang,” ujarnya.





