
KUALA LUMPUR – Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat menekankan keakraban hubungan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dilihat menjadi keutamaan dalam memperkasakan gabungan tersebut.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melahirkan penghargaan kepada Ahmad Zahid dan menyifatkan semangat BN begitu terasa serta menonjol dalam Perhimpunan Agung UMNO 2024 kali ini.
“Lebih-lebih lagi, selepas UMNO berjaya merampas kerusi kubu kuat Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“Kali ini semangat BN sangat terasa di mana kita sesama sendiri dalam ucapan membicarakan tentang hubungan pelbagai hala dalam BN itu sendiri. Perkasakan BN itu saya rasa merupakan satu keutamaan kita,” katanya.
Ka Siong berkata demikian bagi menggulas ucapan Ahmad Zahid bahawa UMNO menyedari ada kalangan parti dalam BN yang kecil hati terhadap parti terbabit.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menegaskan UMNO akan mengadakan rundingan bersama parti komponen bagi menyusun gerak kerja dan perbincangan perbezaan pendapat antara mereka sebaik sahaja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selesai diadakan.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, UMNO dilihat lebih terbuka dan matang untuk menyelesaikan segala isu atau masalah berbangkit antara parti komponen secara perbincangan dalaman.
“Lebih kepada perbincangan hati ke hati antara parti dan elok kita mendengar pandangan sebegitu, kita dalam satu keluarga kita memahami perasaan pihak yang satu lagi.
“Kita dalam satu keluarga, sentiasa berunding, bermesyuarat apa sahaja masalah. Kita lihat dalam konteks Perikatan Nasional (PN) dahulu kita tak membicarakan sesuatu masalah cara terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, tidak timbul sebarang persoalan sama ada BN perlu bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
Menurutnya, sejak dahulu beliau menekankan perlu ada prinsip “BN first”
dengan setiap parti komponen memperkukuhkan kekuatan masing-masing dan melihat gabubgan itu sebagai entiti penting.
“Jaga keluarga kita dahulu, sepatutnya BN first. Kita bertanding atas tiket BN. Bagi kita BN satu parti, apa sahaja senario yang telah kita lalui proses itu pada 2018, 2020 dan pilihan raya kecil.
“Dalam keadaan sekarang, kita dukung prinsip demokrasi dan tanggungjawab kepada rakyat itu penting. Sebagai satu parti, kita kena bergerak dengan falsafah sama-sama makmurkan parti komponen, baru kita boleh mempersiapkan diri untuk berdepan cabaran.
“Sehubungan itu, tidak timbul persoalan sama ada MCA akan setia kepada BN dan Kerajaan Perpaduan kerana parti itu bersama-sama membentuk BN sejak awal kewujudannya,” katanya.




