KYLIAN Mbappe menyempurnakan sepakan penalti ketika Real Madrid menewaskan Osasuna 1-0 awal pagi tadi untuk memulakan kempen La Liga dengan kemenangan di bawah kendalian jurulatih baharu, Xabi Alonso.
Penyerang Perancis itu, menjaringkan gol pada awal babak kedua selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan Osasuna, Juan Cruz.
Gol tunggal itu memadai untuk memastikan kemenangan dalam penampilan sulung Alonso di Santiago Bernabeu, sekali gus mengekalkan rekod Madrid yang tidak pernah tewas dalam perlawanan pembukaan liga sejak tahun 2008.
Trent Alexander-Arnold membuat penampilan sulung La Liga selepas berpindah dari Liverpool, sementara bekas pertahanan Bournemouth, Dean Huijsen serta bek kiri Alvaro Carreras turut tersenarai dalam kesebelasan utama.
Madrid beraksi tanpa khidmat pemain tengah England, Jude Bellingham yang dijangka berehat hingga Oktober selepas menjalani pembedahan bagi menangani masalah berulang pada bahunya.
Madrid kini mahu melupakan penutup era Carlo Ancelotti yang mengecewakan, selepas mereka kehilangan kejuaraan domestik dan Eropah musim lalu.





