
KUCHING – Mayat seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang ketika memancing di perairan Pulau Lakei pada pagi Ahad ditemukan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Haji Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihak Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching menerima laporan kejadian sekitar jam 10.45 pagi membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun.
“Selepas menerima maklumat, aset Maritim Malaysia iaitu Bot PENGAWAL 42 segera digerakkan ke lokasi. Mayat mangsa berjaya ditemukan kira-kira jam 12.20 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menasihati orang awam dan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan apabila turun ke laut, termasuk pemakaian jaket keselamatan.
“Orang ramai juga diseru untuk segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau aktiviti jenayah di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak menerusi talian 082-432006 atau menghubungi talian kecemasan 999,” tambahnya.
Kes dikendalikan oleh pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.






