
TAWAU – Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan terapung di tebing sungai berhampiran Jambatan Kampung (Kg) Iban Merotai, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mangsa berumur 71 tahun itu daripada seorang remaja berumur 15 tahun.
“Pengadu memaklumkan penemuan mayat berkenaan semasa dalam perjalanan pulang dari bermain bola sepak di padang Kg Iban kira-kira pukul 4 petang.
“Setakat ini mangsa tidak disyaki terbabit dalam sebarang unsur jenayah atau khianat,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurut Jasmin, mayat mangsa telah dihantar ke forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ushin dalam kenyataan berkata, pada 4.43 petang, pihaknya menerima panggilan dari pihak polis bagi memohon bantuan mengangkat mayat yang ditemui di sungai.
“Tindakan pasukan bomba mengangkat mayat menggunakan tali dan ‘strecher’ sebelum menamatkan operasi pada pukul 5.45 petang,” katanya.




