
ARAU – Seorang lelaki tanpa identiti ditemukan maut dalam keadaan rentung di halaman sebuah rumah di Jejawi di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam yang menghubungi bilik gerakan pada pukul 6.33 petang.
“Polis menerima panggilan daripada seorang individu yang melaporkan penemuan mayat rentung di kawasan berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Jejawi, Arau.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati dipercayai bekerja sebagai pemotong rumput upahan ditemui dalam keadaan terlentang dan badannya mula mengembung akibat kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, siasatan di lokasi kejadian tidak menunjukkan sebarang tanda jenayah atau kesan pergelutan pada tubuh si mati serta kawasan sekitarnya.
“Insiden ini dipercayai berlaku apabila mesin rumput yang digunakan si mati terbakar, menyebabkan api menyambar tubuhnya.
“Keadaan fizikal si mati juga menunjukkan bahawa dia telah meninggal dunia kira-kira tiga hari sebelum mayatnya ditemukan,” jelas Ahmad Mohsin.
Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk menjalani bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat dipohan tampil membantu siasatan.