
SANDAKAN – Lelaki yang hilang disambar buaya di sungai Kampung Sungai Batang Baru, Batu 10, di sini, pada Khamis ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.
Mayat mangsa, 50, yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan oleh orang awam pada pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nizam Sainkui berkata, mayat mangsa dijumpai orang awam kira-kira 400 meter dari lokasi lelaki itu disambar buaya.
“Pihak bomba menjalankan operasi SAR di lokasi mangsa dilaporkan disambar buaya dan di kawasan tebing-tebing sungai.
“Seterusnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR yang memasuki hari kedua berakhir pada pukul 9.34 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, laporan mengenai kejadian diterima oleh pihak bomba pada pukul 5.40 petang Khamis.
Menurut maklumat awal, mangsa sedang menabur baja ke dalam sungai untuk memulakan aktiviti merambat ikan, namun telah disambar buaya dan hilang.




