
RANAU – Mayat ditemukan di puncak bukit di sini, bukan pemancing yang dilaporkan hilang dari 15 kilometer (km) kawasan memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, Kampung (Kg) Paus, pada Rabu.
Bagaimanapun, mayat yang ditemukan itu belum dikenal pasti identitinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, sebelum itu, mangsa Mokthar Azrin Amat, 30 dilaporkan hilang pada Rabu, semasa keluar memancing di sungai tersebut sejak 3 Februari lalu, sempat dihubungi keluarga dan memaklumkan akan pulang pada 9 Februari namun gagal ditemui sehingga hari ini.
“Pada pukul 8.32 pagi (Rabu), pasukan bomba menerima panggilan berkenaan mangsa dikhuatiri hilang daripada keluarganya yang telah keluar mencari mangsa di lokasi kejadian, namum hanya menemui motosikal mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dilakukan oleh pasukan bomba dan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta orang awam yang menemui mayat tersebut dan menyangka itu adalah mangsa yang dikhuatiri hilang.
“Pada hari kedua SAR, ahli keluarga mangsa membuat pengecaman ke atas mayat itu dan mendapati mayat tersebut bukan mangsa yang dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Ridwan, pada operasi hari ketiga SAR, hari ini, mayat tersebut dibawa keluar dari lokasi kejadian, dan usaha mencari mangsa yang dikhuatiri hilang akan diteruskan.
“Mayat tersebut dibawa keluar dari lokasi kejadian oleh pihak bomba bersama agensi bantuan lain dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun operasi SAR mangsa yang dikhuatiri hilang masih belum ditemui, namun maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” jelasnya.






