KUANTAN – Kerajaan Pahang mengarahkan pihak bertanggungjawab mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir kilat di perumahan PR1MA Sungai Karang, dekat sini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, antara punca dikenal pasti mengakibatkan banjir kilat di kawasan itu adalah ketiadaan sistem saluran air utama.
“Saya dah minta pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) memberi perhatian khusus terhadap perkara ini.
“Mereka (MBK dan LPHP) juga sudah mengarahkan kerja penggalian segera di kawasan berkenaan bagi melancarkan aliran air, selain membersihkan kawasan tersumbat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan banjir kilat di kawasan itu.
Hadir sama dalam tinjauan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Datuk Ahmad Islanizam A Halim dan wakil MBK.
Sementara itu, Mohammad Fakhruddin memaklumkan, terdapat kawasan longkang yang tidak mengalirkan air dengan baik hingga mengakibatkan berlaku limpahan yang menjadi punca banjir kilat.
“Saya dapati dekat kawasan-kawasan di lorong sebelah sana itu (belakang), memang air tidak berjalan langsunglah.
“Saya berterima kasih kepada pihak MBK bersama LPHP dan saya nak tindakan segera diambil supaya dapat memastikan air ini dapat terus disalurkan dengan segera,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, hasil pemeriksaan awal mendapati masalah utama bukan berpunca daripada ketidakpatuhan pembangunan, sebaliknya ketiadaan saluran pelepasan utama yang lengkap.
“Dari segi aspek pembangunan ini memang tak ada perkara yang dilakukan tidak betul. Cuma disebabkan ‘main discharge’ sana, flow (aliran) air itu tak dapat mengalir.
“Dan saya juga dapati bahawa di sini ada detention pond (kolam tadahan), itu mesti diselenggarakan dengan baik oleh pihak berkenaan,” ujarnya.





