
SANDAKAN – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diminta untuk menyediakan laporan terperinci berdasarkan pemantauan yang dijalankan dan sebarang kerja pembaikan akan dilaksanakan secepat mungkin demi kebajikan kira-kira 100 penduduk perumahan pangsa Yii Villa di Kampung Sim-Sim, di sini.
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung selepas melakukan tinjauan dan pemantauan di rumah pam bersama wakil JANS di sini pada Sabtu lalu.
“Tinjauan ini bertujuan untuk memahami punca gangguan bekalan air dan mencari penyelesaian yang berkesan.
“Kami akan berusaha dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan penduduk menikmati bekalan air yang konsisten dan mencukupi,” tambahnya.
Beliau meminta JANS untuk melakukan kajian menyeluruh dan menyediakan cadangan pembaikan bagi meningkatkan kualiti bekalan air di kawasan ini.
Terdahulu, para penduduk di kawasan perumahan pangsa Yii Villa mengadu masalah ketiadaan bekalan air yang telah berlarutan selama hampir 11 tahun tanpa jalan penyelesaian yang jelas.
Beberapa aduan dan cadangan telah dibuat oleh penduduk bagi mengkaji semula sistem paip utama yang menyalurkan bekalan air ke kawasan tersebut.
Seorang penduduk perumahan, Muhammad Ali Lapumdagar, 49, menyatakan bahawa bekalan air bersih adalah keperluan harian yang sangat penting dan mereka berharap agar isu ini dapat diselesaikan segera.

“Kami terpaksa mengangkat air di tangki bawah bangunan perumahan yang disediakan oleh ADUN Tanjung Papat.
“Kami terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan seharian jika bekalan air habis,” kongsinya.
Dah Alan, 57, turut mengakui kesulitan yang sama dan menyatakan bahawa gangguan air boleh berlaku hampir setiap hari dan pemulihan bekalan hanya dapat dilihat pada waktu malam dan subuh.








