
TAWAU – Sembilan pemancing warga Indonesia yang menaiki tiga bot nelayan diusir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau selepas dikesan menceroboh perairan negara, Ahad lepas.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketiga-tiga bot itu dikesan bot peronda Maritim Malaysia menerusi Operasi Khas Op Pluto Timur di kedudukan antara 2.5 hingga 5.6 batu nautika utara Burst Point, sekitar pukul 1 tengah hari.
“Sebelum itu, kesemua lelaki berumur 28 hingga 52 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta bot beserta enjin dan hasil tangkapan laut dengan nilai RM20,000 ditahan untuk diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau bagi proses pengusiran.
“Ini berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan garis panduan perlakuan terhadap nelayan oleh agensi penguatkuasaan maritim kedua-dua negara yang ditandatangani pada 27 Januari 2012.
“Sebaik proses dokumentasi selesai, pemancing bersama ketiga-tiga bot berkenaan telah diiring ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Tegas Shahrizan, pihaknya akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pencerobohan dan aktiviti haram di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZone).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di sekitar perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” ujarnya.