
SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 1,870 peket minyak masak bersubsidi menerusi penahanan dua bot dalam satu operasi di perairan Kampung (Kg) Bokara Lama di sini, awal pagi Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan.
”Anggota penguat kuasa mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri untuk tujuan pemeriksaan.
“Namun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan kedua-dua bot tersebut,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.

Menurut Suhairy, pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 1,870 peket minyak masak dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran.
”Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan menyeludup barang kawalan tanpa permit sah.
”Kedua-dua bot bersama barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
”Jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua bot, enjin dan minyak masak dianggarkan bernilai lebih RM50,000,” ujarnya.
Sementara itu, Suhairy berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 untuk tindakan segera.







