ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menahan lima lelaki warga Myanmar kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan dua sangkar ikan yang disyaki memiliki lesen tamat tempoh ketika diperiksa anggota penguat kuasa Maritim Malaysia di perairan Tanjung Dawai pukul 5.30 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman dan Op Khas Patkor Optima 31B/2024 telah memeriksa dua sangkar ikan berkenaan yang berada di kedudukan 1.4 dan 1.6 batu nautika barat laut Tanjung Dawai.
Hasil sisatan mendapati lesen sah pengoperasian telah tamat tempoh dan kelima-lima lelaki warga Myanmar yang disyaki pekerja sangkar berkenaan gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah ketika diperiksa.
“Kesemua yang ditahan berumur antara 27 hingga 38 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 8 (c) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
“Kesemua mereka seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan siasatan lanjut,” ujarnya.

Rentetan kes tersebut, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.





