
KANGAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas ganja mampat bernilai hampir RM900,000 dalam satu operasi khas di perairan Kuala Perlis, awal pagi tadi.
Rampasan melibatkan kira-kira 170 kilogram ganja dipercayai untuk pasaran lebih 30,000 penagih, menjadikan ia rampasan pertama dan terbesar bagi tahun ini di Zon Maritim Kuala Perlis.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan selama beberapa hari oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP).
“Bot ronda kami mengesan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran kira-kira 560 meter dari barat Pulau Ketam sebelum tekongnya melarikan diri ke paya bakau selepas menyedari kehadiran pasukan Maritim.
“Suspek bertindak terjun ke laut dan berenang untuk mengelakkan ditahan. Anggota kami terpaksa terjun dan meranduk lumpur separas paha bagi memastikan bot berkenaan tidak terlepas,” katanya pada sidang media hari ini.
Pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan lapan guni pelbagai warna yang disembunyikan di bawah pukat dan mengandungi 157 ketulan daun kering mampat disyaki ganja.
Romli berkata, semua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Operasi ZMKP untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, bot kayu itu dipercayai datang dari wilayah Satun, Thailand, dan diubah suai seperti bot nelayan tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Bekalan bahan bakar yang sedikit menunjukkan ia hanya digunakan untuk penghantaran jarak dekat ke perairan Perlis.
“Kedudukan geografi negeri ini yang bersempadan dengan Thailand serta kewujudan banyak jeti dan kawasan paya bakau telah dimanipulasi oleh sindiket untuk menyeludup dadah,” katanya.
Tambah beliau, siasatan turut menjurus kepada pembabitan sindiket yang melibatkan rakyat tempatan dan warga asing di sekitar Kedah dan Perlis.