
BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 23,000 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai RM245,640 di laluan kargo pintu masuk Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Menurut Pengarah Maqis Kedah, Hisham Abu Bakar, hasil pemeriksaan oleh pihak penguat kuasa berjaya menemui seberat 23,000 kg keratan ayam sejuk beku mempunyai tarikh luput dan nombor perakuan yang berlainan dengan sijil halal yang diisytiharkan.
Katanya, kesalahan itu adalah sangat serius di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan semua barang rampasan kini ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
“Kes ini di siasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Jelasnya lagi, tindakan tegas akan terus diambil untuk memastikan barangan pertanian yang diimport ke negara ini termasuk tumbuhan, karkas, ikan dan hasil pertanian perlu bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berbahaya.
“Kerjasama antara agensi penguatkuasaan adalah kunci bagi memastikan kepatuhan kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk melndungi keselamatan serta kesihatan sektor pertanian negara.
“Penguatkuasaan berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha Maqis dalam mengekang kemasukan barangan pertanian secara haram yang boleh mengancam eskosistem dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
End.







