
ALOR SETAR – Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 2,043 daripada 343 keluarga direkodkan sehingga jam 11 malam tadi.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan daripada 675 mangsa yang direkodkan setakat jam 5 petang semalam membabitkan empat daerah.
Terkini, dua daerah yang turut terjejas adalah Kuala Muda dan Kota Setar berbanding sebelum ini hanya daerah Pokok Sena, Pendang, Kulim dan Kubang Pasu.
Kuala Muda mencatatkan 54 mangsa yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), manakala 37 mangsa di sebuah PPS di Kota Setar.
Sementara itu, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di 11 PPS yang dibuka di enam daerah terjejas dengan PPS Maahad Tarbiah Islamiyah Derang di Pokok Sena mencatatkan jumlah iaitu 718 mangsa.
PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah di Pendang pula merekodkan 678 mangsa daripada 43 keluarga, manakala 230 penduduk ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Pokok Sena.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya akan melakukan persediaan untuk menjaga kebajikan semua mangsa yang di tempatkan di PPS.
Katanya, pihaknya akan menyediakan keperluan harian khususnya makanan dan keperluan asas.
“Bekalan makanan sedia ada ini mampu bertahan selama dua minggu untuk sekurang-kurangnya 10,000 mangsa.
“Saya menjangkakan jumlah mangsa banjir di negeri ini akan terus meningkat berikutan hujan ketika ini masih turun dan beberapa paras air sungai utama di Kedah juga turut meningkat,” katanya.




