
MAJLIS Mahasiswa Anak Pahang (Mampan) akan menganjurkan Himpunan Solidariti Raja dan Rakyat Berpisah Tiada esok.
Himpunan itu dijadualkan bermula di pekarangan Masjid Sultan Ahmad I (Masjid Negeri) jam 4 petang.
Peserta himpunan kemudiannya dijangka bergerak ke kawasan lapang Menara Kuantan 188, dekat Jalan Besar.
Penganjur turut mencadangkan supaya semua peserta himpunan memakai baju berwarna putih sebagai tanda solidariti kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Himpunan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.
Muhyiddin dilaporkan mempersoalkan peranan Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam urusan pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Difahamkan, sebanyak 30 laporan polis sudah dibuat pelbagai pihak terhadap Presiden Bersatu itu.
Muhyiddin dijangka dirakam keterangan esok oleh pasukan polis Bukit Aman di ibu negara.