
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ’an Abi Amr wa al-Basr kepada tokoh ulama besar dunia Islam, Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim Ben Hafez, sebagai tanda penyempurnaan salah satu inisiatif penting di bawah Projek 1 Juta al-Quran.
Penyerahan naskhah berkenaan kepada pendakwah dan pendidik terkemuka dari Yaman itu melambangkan kejayaan Malaysia dalam bidang penerbitan al-Quran serta mengangkat kedudukan negara sebagai pusat pengembangan ilmu dan seni Islam di peringkat antarabangsa.
Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ’an Abi Amr wa al-Basr merupakan hasil kerjasama antara kerajaan, Yayasan Restu dan Nasyrul Quran di bawah naungan Perdana Menteri, bersama Darul Mustafa, Yaman yang dipimpin oleh Al-Habib Umar Hafez.
Penerbitan itu menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam usaha memartabatkan khazanah seni dan ilmu al-Quran di Malaysia, seiring matlamat Projek 1 Juta al-Quran.
Mushaf berkenaan menampilkan bacaan Qiraat Riwayat ad-Duri, iaitu antara 10 riwayat bacaan yang masyhur dalam tradisi ilmu al-Quran, dengan keunikan tersendiri dari segi sebutan dan kaedah bacaan.
Penghasilan mushaf itu dilaksanakan oleh lima ahli khat Yayasan Restu sejak tahun 2015 dan disempurnakan pada tahun 2019, sebelum penerbitannya selesai sepenuhnya pada tahun 2024.
Berukuran A5, Mushaf Tarim ini memaparkan tulisan khat yang jelas dan indah serta dihiasi dengan motif seni Yaman yang mencerminkan kesatuan antara nilai rohani dan estetika.
Penerbitan mushaf ini turut memperkukuh hubungan sejarah dan dakwah antara Malaysia dan Yaman, sekali gus memperlihatkan keindahan Islam yang menyatukan umat melalui wahyu dan seni.
Terdahulu, Anwar bersama kira-kira 10,000 jemaah menunaikan solat Subuh yang dipimpin oleh Imam Masjid Putra, Abdul Karim Zakaria.
Perdana Menteri bersama para jemaah kemudian mendengar Kuliah Subuh MADANI yang disampaikan oleh Al-Habib Umar, yang membacakan kitab bertajuk Qomi’ Al-Thugyan ‘ala Manzumah Syu’abil Iman, karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar Al-Bantani.
Kuliah tersebut membicarakan 77 cabang iman yang merangkumi aspek akidah, akhlak dan syariah.
Al-Habib Umar ialah pengasas Dar al-Mustafa, sebuah institusi pendidikan Islam berprestij yang telah melahirkan ribuan pendakwah dan ilmuwan dari seluruh dunia.
Beliau terkenal dengan keilmuan dalam bidang tafsir, hadis, fiqh dan tasawuf serta pendekatan dakwahnya yang lembut, berhikmah dan penuh kasih sayang.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.




