PUTRAJAYA – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada hari Sabtu, 7 Jun 2025, bersamaan 10 Zulhijah 1446 Hijrah.
Perkara itu dimaklumkan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Mohd Aseral Jusman, malam ini.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya, bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, dengan ini mengisytiharkan bahawa 10 Zulhijah 1446 Hijrah ialah pada hari Sabtu, 7 Jun 2025.
“Oleh yang demikian, Hari Raya Korban 10 Zulhijah bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 7 Jun 2025 Masihi. Sekian,” katanya menerusi pengumuman rasmi disiarkan saluran televisyen tempatan.
Pengisytiharan itu dibuat selepas sesi pencerapan anak bulan Zulhijah dijalankan di 29 lokasi seluruh negara pada petang tadi.







