
NEW DELHI – Kementerian Sumber Manusia memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pekerja asing dari India yang sudah lupus 10 tahun lalu, sekali gus mengemas kini prosedur pengambilan dan mencegah eksploitasi.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, MoU asal sudah luput pada 2014 tetapi dalam 10 tahun ini sekitar 160,000 pekerja asing dari India memasuki Malaysia tanpa sebarang dasar menetapkan prosedur pengambilan.
“Jadi, tahun lalu kita memulakan perbincangan dan mendapat kelulusan untuk MoU yang baharu dan tahun ini kita memeterai MoU baharu sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India.
“Selepas ini, garis panduan pengambilan pekerja dari India akan lebih telus, lebih adil, dan lebih teratur selain memastikan tidak berlaku amalan buruk seperti eksploitasi pekerja asing, yang akhirnya hanya merugikan negara dan pekerja tempatan di Malaysia.
“Sektor yang dilihat kritikal memerlukan pekerja asing termasuk perkhidmatan, perladangan dan yang terbesar, pertanian, selain sektor formal berkemahiran tinggi, yang mana kementerian ini merekodkan lebih kurang 85,000 orang,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selama tiga hari ke India, yang berakhir semalam.
Secara keseluruhan, Malaysia dan India bertukar lapan MoU merangkumi pelbagai sektor termasuk pengambilan pekerja asing, perubatan tradisional ayurveda, teknologi digital, budaya, pelancongan dan pentadbiran awam.
Tambah Sim, Malaysia menerima pekerja kejuruteraan dan teknikal dari India tetapi sektor yang kekurangan kritikal tenaga kerja ialah sektor kedai makan dan kedai gunting rambut, yang mana pengisiannya sedang dibincangkan sekarang.
Katanya, ini lebih menjurus kepada keperluan dalam negara dan tidak ada kaitan secara langsung dengan negara sumber iaitu India.
“Jadi, dalam isu proses ini, saya berbincang dengan pelbagai dewan perniagaan dan persatuan perniagaan India terutama dalam tiga sektor iaitu gunting rambut, pertukangan emas dan tekstil tradisi masyarakat India,” katanya.
Namun, Sim menegaskan bahawa MoU baharu bukan bertujuan membawa masuk lebih banyak pekerja kerana had maksimum sudah ditetapkan, sebaliknya ia untuk memastikan proses pengambilan lebih teratur dan berpandukan undang-undang.