MALAYSIA dan Mesir dengan tegas menolak sebarang cubaan untuk mengusir rakyat Palestin secara paksa dari Gaza.
Sekali gus memberi amaran bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja akan memburukkan krisis kemanusiaan tetapi juga menjejaskan usaha sekian lama untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang langkah untuk mengeluarkan rakyat Palestin dari tanah air mereka akan menjejaskan perjuangan mereka untuk penentuan nasib sendiri dan keadilan.
Menerusi perbincangan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen mereka untuk menyokong pembinaan semula Gaza sambil menyokong penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada isu Palestin.
“Saya telah menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, hari ini (semalam), dan perbincangan kami menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan serta usaha pembangunan semula Gaza.
“Alhamdulillah, saya dan Presiden El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.
“Langkah ini bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook rasmi beliau, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut mengulangi komitmen Malaysia untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dan perubatan serta membantu dalam pembinaan semula Gaza sambil mengekalkan sokongan tidak berbelah bahagi untuk perjuangan rakyat Palestin.
Anwar juga menyatakan penghargaannya atas sokongan berterusan Mesir dalam memudahkan bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel dan kekejaman berterusan.
Tambahnya, Presiden El-Sisi berikrar menyokong inisiatif Jepun-Malaysia di bawah Kerjasama antara Negara-negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) untuk membina semula Gaza, sambil menegaskan bahawa usaha antarabangsa yang bersatu akan meningkatkan keberkesanan bantuan kepada Palestin.
“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan serta mempermudah usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan kepada rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.
“Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini,” katanya.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Mesir, mengesahkan komitmen mereka untuk memperdalam kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertukaran budaya.
“Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara,” katanya.





