
KUALA LUMPUR – Korea Selatan berusaha untuk meningkatkan hubungan sektor pertahanannya dengan Malaysia dengan menawarkan pakej komprehensif merangkumi pemindahan teknologi, sokongan logistik dan latihan intensif bagi memperkukuhkan keupayaan pertahanan Malaysia.
Timbalan Menteri Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA) Korea Selatan, Kang Hwan Seug berkata, kerjasama Malaysia-Korea Selatan dalam industri pertahanan telah mula berkembang selepas pemeteraian kontrak pesawat FA-50.
Ini dijangka membawa kepada kerjasama lebih menyeluruh dan berpanjangan dalam pelbagai bidang.
“Korea Selatan boleh menjadi rakan kongsi yang ideal untuk Malaysia, yang sedang menjalani pemodenan ketenteraan,” kata Hwan Seug kepada Bernama semasa lawatan tiga harinya ke Malaysia bermula semalam.
Beliau turut menghadiri Seminar Industri Pertahanan 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada Mei tahun lalu, Malaysia dan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak bernilai hampir RM4 bilion untuk 18 pesawat FA-50 Block 20, yang kini dikenali sebagai FA-50M.
“Korea Selatan ingin melangkaui hubungan ‘pembeli-penjual’ dan mencapai perkongsian komprehensif dan timbal balik yang merangkumi program kerjasama industri seperti pembangunan bersama simulator FA-50,” kata Hwan Seug.