Malaysia kekal pendekatan terbuka dengan AS, China

MALAYSIA akan meneruskan pendekatan terbuka dan pragmatiknya dalam melibatkan diri dengan kedua-dua Amerika Syarikat dan China, berdasarkan hubungan saling menghormati dan kepentingan bersama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun perbincangan mengenai Malaysia mengalihkan tumpuannya ke arah China, AS kekal sebagai sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia, khususnya dalam sektor teknologi.

Beliau berkata, AS memegang kedudukan dominan dalam landskap pelaburan Malaysia secara kumulatif.

Sebaliknya, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan 16 tahun hubungan perdagangan yang makmur sertamemainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Sudah jelas hari ini bahawa tiada permainan sifar di sini. Mengekalkan hubungan yang kukuh dengan Amerika Syarikat dan China bukan semata-mata soal pragmatisme ekonomi tetapi satu kemestian strategik untuk menjaga kepentingan negara kita dalam dunia yang semakin tidak menentu.

“Dengan memupuk penglibatan yang seimbang dan membina dengan kedua-duanya, Malaysia memastikan asas ekonomi yang pelbagai, mengurangkan pergantungan yang berlebihan, dan kedudukan yang diperkukuh sebagai ekonomi yang berdaya tahan, terbuka dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan syarahan bertajuk, Kelebihan Adaptif: Strategi Global Malaysia dalam Era Ketidaktentuan di London School of Economics pada pagi Jumaat waktu tempatan.

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan, menjelaskan bahawa pendekatan Malaysia untuk mengemudi ketidaktentuan global adalah untuk melibatkan diri dengan semua pemain utama tanpa memihak.

“Dalam masa yang berubah-ubah, ketidakpastian adalah satu-satunya kepastian. Kita tidak boleh begitu sahaja bertahan, kita mesti berkembang maju. Ketahanan akan membimbing kita, dan kejelasan tujuan akan menjadi kompas kita,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa walaupun menghadapi tekanan yang besar dan cabaran yang tidak menentu, Malaysia akan kekal teguh dan menyesuaikan mengikut keadaan.

“Kami mencapai ini dengan melibatkan diri secara aktif dengan semua negara, besar atau kecil, berpandukan prinsip tidak bersekutu,” tambahnya.

Related Posts

Pengambilan doktor dan jururawat baharu diteruskan

PUTRAJAYA – Pengambilan doktor dan jururawat baharu akan tetap diteruskan meskipun kerajaan melaksanakan langkah penyelarasan perbelanjaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata, terdapat salah tafsir berhubung cadangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bekalan minyak dan gas Malaysia kekal terjamin, harga global jadi cabaran – PM

PUTRAJAYA – Malaysia masih berada dalam kedudukan kukuh dari segi bekalan minyak dan gas berbanding negara ASEAN lain, namun tidak terlepas daripada kesan kenaikan harga di peringkat global, kata Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pengambilan doktor dan jururawat baharu diteruskan

Pengambilan doktor dan jururawat baharu diteruskan

Bekalan minyak dan gas Malaysia kekal terjamin, harga global jadi cabaran – PM

Bekalan minyak dan gas Malaysia kekal terjamin, harga global jadi cabaran – PM

Isu harga barangan akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

Isu harga barangan akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

PM tidak ulas isu UMNO Negeri Sembilan, kenyataan disifatkan belum jelas

PM tidak ulas isu UMNO Negeri Sembilan, kenyataan disifatkan belum jelas

PDRM Kelantan beri amaran keras salah guna logo, imej Ketua Polis

PDRM Kelantan beri amaran keras salah guna logo, imej Ketua Polis

100 mangsa ribut Kampung Melayu Raya dipindahkan, bantuan segera digembleng

100 mangsa ribut Kampung Melayu Raya dipindahkan, bantuan segera digembleng