
PUTRAJAYA – Prestasi ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan terpantas dalam tempoh 12 suku tahun dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melonjak 6.3 peratus pada suku tahun keempat 2025, mengatasi 5.4 peratus pada suku sebelumnya serta anggaran awal 5.7 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi kukuh itu turut menjadikan pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara pada 2025 meningkat kepada 5.2 peratus berbanding 5.1 peratus pada 2024.
Katanya, ia didorong permintaan dalam negeri yang kukuh serta eksport menggalakkan, sekali gus melebihi unjuran antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.
“Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada tahun 2026, disokong permintaan dalam negeri dan eksport berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, perbelanjaan isi rumah akan terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan guna tenaga dan upah, manakala aktiviti pelaburan dipacu pelaksanaan berterusan projek sektor awam dan swasta, serta inisiatif pemangkin di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
![]()
Dari segi kestabilan harga pula, inflasi keseluruhan kekal sederhana pada 1.3 peratus pada suku keempat 2025, manakala inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus, namun masih terkawal.
Tekanan harga sebahagiannya diimbangi penurunan harga ‘barangan ditadbir’ seperti elektrik dan petrol susulan pelaksanaan subsidi RON95 secara bersasar.
Bagi 2026, inflasi dijangka kekal sederhana disokong keadaan kos global lebih reda serta harga komoditi stabil.
Dalam perkembangan pasaran kewangan, ringgit mencatat penambahan nilai apabila kadar pertukaran efektif nominal meningkat 3.8 peratus pada suku keempat 2025 dan mengukuh 3.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Prestasi itu disokong faktor luaran termasuk pengurangan kadar dasar oleh Federal Reserve, selain prospek ekonomi domestik positif yang terus mengukuhkan keyakinan pelabur.
Sepanjang 2025, ringgit mengukuh 10.2 peratus berbanding dolar AS, manakala NEER meningkat 6.3 peratus.
Secara keseluruhan, Bank Negara Malaysia menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada 2026 terus disokong oleh permintaan domestik, eksport elektrik dan elektronik serta peningkatan aktiviti pelancongan susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.







