
LIMBANG – Masyarakat digesa agar terus memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk sebagai benteng utama menghadapi cabaran semasa yang semakin mencabar.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penganjuran majlis ramah tamah seperti ini wajar dijadikan platform terbaik untuk mempererat hubungan sesama masyarakat.
Ujarnya, ini juga menjadi medium penting dalam menyemai semangat muhibah dan kerjasama antara penduduk kampung tanpa mengira latar belakang.
“Majlis seperti ini bukan sahaja menghidupkan suasana harmoni dalam komuniti, malah membuka ruang kepada kita untuk beramah mesra, bertanya khabar dan mengukuhkan hubungan yang mungkin sebelum ini jarang berpeluang untuk dipereratkan.
“Ini wajar untuk kita teruskan dari masa kesemasa bukan sahaja semasa waktu perayaan,” katanya ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Kampung Patiambun, semalam.

Menurut beliau, nilai silaturahim dan perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan asas kepada kestabilan sosial dan kesejahteraan negara secara keseluruhan.
“Perpaduan yang kukuh tidak datang secara tiba-tiba, sebaliknya perlu disemai dan dipupuk sejak dari peringkat kampung dan kawasan perumahan lagi.
“Apabila hubungan sesama jiran baik, maka lahirlah masyarakat yang saling memahami, membantu dan bekerjasama dalam apa jua keadaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur serta penduduk kampung yang berganding bahu menjayakan majlis tersebut, sekali gus membuktikan semangat gotong-royong masih subur dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran penduduk kampung pelbagai peringkat umur, sekali gus mencerminkan semangat kekitaan yang masih utuh dalam komuniti Kampung Patiambun.






