
KOTA PADAWAN – Upacara menaikkan bendera sempena Hari Ulang Tahun Majlis Perbandaran Padawan ke-28 telah berlangsung pada pagi ini di perkarangan Pejabat Majlis Perbandaran Padawan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Cr Tan Kai berkata, dengan berpandukan visi ‘Perbandaran Padawan yang cekap dan mampan’, misi MPP adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap melalui penglibatan masyarakat.
“Majlis Perbandaran Padawan yang dulunya dikenali sebagai Majlis Daerah Luar Bandar Kuching (KRDC) telah ditubuhkan pada 1956 di bawah Ordinan Kuasa Tempatan 1948 Bab 117 dan telah diangkat sebagai Majlis Perbandaran pada 1 Ogos 1996 menandakan 68 tahun sebagai Pihak Berkuasa Tempatan dan 28 tahun sebagai Majlis Perbandaran” ujar Tan Kai.
Tambah beliau lagi, baru-baru ini MPP telah menerima anugerah Risiko Rendah 2023 oleh SPRM dan 5 Star Award for Local Authority 2024 – Star Rating yang mencerminkan komitmen dan integriti MPP kepada masyarakat.

Menurut Tan lagi, salah satu inisiatif utama MPP ialah menjadi perintis kepada Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAP) di Sarawak.
Selain itu, Tan turut berkongsi kejayaan projek-projek dibawah MPP seperti Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho, Batu Kawah Riverbank Park, Pusat Penjaja Baharu di Kota Sentosa dan Taman Rekreasi di Kota Padawan.
Antara projek menarik dalam perancangan MPP ialah Kompleks Baharu MPP, Pasar Hijau Baharu di Matang Jaya dan Taman Rekreasi Bandar di Jalan Batu Kawah.
Turut hadir Timbalan Pengerusi, Ahli-Ahli Majlis, Pemangku Setiausaha Perbandaran, Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan-kakitangan MPP.