
KUCHING – Melalui undang-undang dan jurisprudens, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) kini dalam usaha memodenkan adat tradisi yang dianggap tidak relevan untuk diguna pakai.
Masih terdapat lagi beberapa adat tradisi dalam kalangan penduduk asal yang dilihat tidak selari dengan perkembangan dan peredaran zaman.
Malahan terdapat juga adat yang dicipta sendiri oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau ketua masyarakat tanpa melalui perbincangan bersama.
Menurut Ketua MAIS, Datuk Ronnie Edward, proses memodenkan adat tradisi melalui perundangan bukan sesuatu yang mudah kerana MAIS masih kekurangan pakar dalam bidang tersebut.
Sehubungan itu, MAIS bercadang bekerjasama dengan agensi lain termasuk instusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam menjalankan kajian dan menghantar pegawai bagi mengikuti kursus perundangan.
“Jika anda ke Saratok dan kawasan di Betong, anda akan dapati jika tidak menyertai upacara pengebumian malam dipanggil Dayak Antu, anda harus membayar antara RM300 hingga RM500 untuk setiap sesi yang dianggap kompaun.
“Dalam masyarakat Kayan pula, kebanyakan adat datang daripada arahan ketua atau dipanggil Maren dan penduduk biasa di komuniti tersebut tidak dapat membuat sebarang keputusan.
“Adat ini tidak lagi dapat diterima pada hari ini. Perkembangan sosioekonomi sejak lima dekad lalu membawa banyak perubahan sosial.
“Perubahan ini membawa paradigma dalam menilai semula adat dalam setiap kaum yang dianggap ketinggalan zaman,” katanya.
Ronnie berkata demikian dalam ucapan aluannya pada program Majlis Adat Istiadat bersama Pemegang Taruh 2024 sempena ulang tahun ke-50 MAIS di Kuching pada Khamis.
Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Jonathan Lugoh.






