
PAGOH – Usianya baru menginjak 14 tahun, namun pelajar perempuan ini seolah memahami keperitan dan kesusahan ibu bapanya sehingga berhasrat untuk berhenti bersekolah.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di kediaman mereka di pekan Bukit Pasir, di sini, baru-baru ini.
Menurut Fadhlina, pelajar yang merupakan anak sulung itu menyatakan hasrat untuk berhenti sekolah lantaran mengenangkan kesukaran orang tuanya mencari rezeki bagi memastikan dia dan dua lagi adiknya dapat menuntut ilmu seperti murid lain.
“Saya turun ke Pagoh setelah dimaklumkan oleh Ketua Cabang Keadilan Pagoh, ada sebuah keluarga yang memerlukan perhatian saya.
“Rupanya anak sulung keluarga ini dalam keadaan serba salah untuk meneruskan persekolahan. Pertama kerana bapanya tidak ada pekerjaan yang tetap selepas kemalangan.
“Kedua, ibu mereka dalam keuzuran. Di usia 14 tahun, anak ini hanya mahu berhenti sekolah dan bekerja kerana gusar keluarganya dihalau akibat tidak mampu membayar sewa rumah,” katanya pada sesi lawatan berkenaan.

Selaku menteri di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Fadhlina lantas memutuskan beberapa bantuan bersesuaian dalam memastikan ketiga-tiga beradik ini dapat meneruskan sesi persekolahan dengan baik dan mempunyai kelengkapan cukup.
Beliau yang juga Ketua Wanita PKR turut memberikan bantuan dalam menyelesaikan bayaran kediaman sewa keluarga berkenaan selama setahun.
“Saya berpandangan bahawa anak ini harus mendengar sendiri jaminan tentang pendidikan daripada saya. Kegusarannya saya jawab terus dengan menyelesaikan terus sewa rumah mereka selama setahun dan memberikan sumbangan untuk persiapan ke sekolah.
“Saya pesan padanya bahawa tugas dia hanya belajar, jadi anak yang baik,jaga adik-adik. Yang lain kami uruskan dan minta dia berjanji untuk ke sekolah,” katanya.
Beliau turut menzahirlan penghargaan kepada Cabang Keadilan Pagoh yang sangat prihatin serta menyeru ahli pimpinan untuk turun ke bawah mengenal pasti masalah rakyat yang memerlukan bantuan.