DI celah-celah keriuhan ekonomi global yang semakin tidak menentu dan tekanan kos sara hidup yang menghimpit, sebuah usaha yang menggambarkan keprihatinan Kerajaan MADANI sedang rancak digerakkan.
Kerajaan MADANI, melalui pelbagai inisiatif proaktif, terus meletakkan kebajikan rakyat sebagai kompas utama dalam setiap helaian dasar negara ini. Antara yang paling memberi kesan langsung kepada dapur rakyat ialah Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Inisiatif ini adalah sebuah langkah intervensi yang bukan sekadar gimik ekonomi, tetapi sebuah manifestasi keberadaan kerajaan di sisi rakyat.
Program ini akan diperluas ke seluruh pelosok negara, dari celah kota hingga ke pedalaman, membuktikan bahawa ‘rahmah’ itu bukan sekadar slogan.
Dengan menawarkan potongan harga antara 10 peratus hingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas, kerajaan secara langsung telah mewujudkan ‘zon selamat’ bagi kuasa beli rakyat.
Apabila barangan asas dapat dibeli pada harga lebih rendah, ia memberikan ruang bernafas yang kritikal bagi golongan B40 dan M40 untuk mengimbangi keperluan hidup yang lain.
Dari perspektif makroekonomi, impak PJRM melangkaui sekadar jualan murah. Ia bertindak sebagai alat kawalan inflasi makanan yang efektif hingga aliran komoditi utama sampai terus kepada pengguna pada harga terkawal, sekaligus berjaya meredakan spekulasi harga di pasaran terbuka.
Ini mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih stabil, di mana rantaian bekalan tidak lagi dimonopoli oleh pihak tertentu, sebaliknya dioptimumkan untuk kepentingan massa.
Bukan sekadar angka dan peratusan, program ini telah menyentuh dimensi komuniti yang mendalam, yakni membangkitkan semangat solidariti. Ianya mewujudkan rasa ‘disantuni’, di mana rakyat merasa beban mereka dipikul bersama oleh kepimpinan negara.
Bagi golongan peniaga yang terlibat, mereka menjadi rakan strategik dalam ekonomi kitaran, membantu menggerakkan bekalan barangan tempatan dengan lebih efisien.
Tuntas, usaha berterusan ini memberi sebuah isyarat jelas, kerajaan tidak hanya melihat ekonomi melalui carta dan graf, tetapi melalui realiti kehidupan sebenar rakyat.
Langkah memperkasa PJRM adalah bukti bahawa pembangunan ekonomi MADANI diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
Dengan memperkukuh ekonomi dari akar umbi dan memelihara keadilan sosial, negara ini sedang melangkah ke arah masa depan yang lebih inklusif tanpa meminggirkan mana-mana warganegara sekalipun.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)






