
LAHAD DATU – Sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit mentah (CPO) 34 tan terbabas lalu terbalik di Bulatan Pan Borneo Lahad Datu-Sandakan, Jalan Segama, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pukul 8.40 pagi sebelum sembilan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba bertindak mencabut kepala bateri di dalam enjin supaya tidak berlaku percikan api seterusnya menghubungi pihak polis dan kontraktor Pan Borneo kawasan Sepagaya.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan sebuah syarikat perladangan akan menyedut minyak CPO terbabit manakala pihak kontraktor Pan Borneo mengambil alih membersihkan jalan raya menggunakan pasir,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.

Operasi tamat pukul 9.40 pagi selepas kawasan sekitar dipastikan selamat.




