
GURUN – Cubaan dua lelaki menyeludup masuk beras putih seberat 40 tan ke pasaran tempatan gagal apabila lori treler yang dipandu mereka ditahan dalam operasi khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara di susur masuk Plaza Tol Gurun, awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dan 50-an itu ditahan sekitar pukul 4 pagi hasil intipan selama sebulan oleh Cawangan Risik Briged Utara PGA Ulu Kinta.
Menurut Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, pemeriksaan terhadap lori terbabit menemui muatan beras putih dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Ketika diperiksa, pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan muatan yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihaknya merampas sebuah lori bersama treler serta beras putih dianggarkan seberat 40,000 kilogram dengan nilai rampasan keseluruhan RM560,000.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan itu diserahkan kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kedah untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Briged Utara PGA dalam mengekang aktiviti penyeludupan di sepanjang sempadan negeri-negeri utara.
“Masyarakat diseru agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.




