PUTRAJAYA – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga hasil laut, terutama ikan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang djangka bermula November ini hingga Mac 2025.
Pengerusi, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya telah melakukan persiapan awal menyimpan bekalan penimbal ikan untuk keperluan pasaran.
“Kami memberi jaminan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang tempoh itu kerana kita ada simpanan ikan yang diimport oleh peniaga, malahan di Pantai Barat masih meneruskan aktiviti menangkap ikan.
“Kita ada stok ikan sejuk beku keseluruhan 1,500 tan di seluruh negara, jadi tidak ada alasan peniaga naikkan harga ikan,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut, hari ini.
Mengenai pembinaan kilang air batu kedua milik PNK Besut di Kompleks LKIM itu, Muhammad Faiz berkata, kilang bernilai RM3 juta itu dijangka siap akhir tahun depan.
Pembinaan kilang itu, katanya, bagi menampung permintaan air batu yang tinggi untuk sektor perikanan di daerah Besut.
Kilang pertama milik PNK Besut yang sedia ada di kompleks LKIM hanya mampu mengeluarkan 390 blok ais sehari




