ALEXANDER Isak memecah rekod perpindahan Britain dengan nilai 125 juta pound (RM715 juta) dari Newcastle United ke Liverpool pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris.
Penyerang Sweden itu difahamkan sudah tiba di pusat latihan The Reds bagi melengkapkan proses perpindahan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Perpindahan berprofil tinggi itu dijangka dimuktamadkan sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pada jam 2 pagi waktu Malaysia.
Sky Sports melaporkan, Newcastle dalam masa sama bersetuju mendapatkan penyerang Brentford, Yoane Wissa, manakala penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma pula hampir pasti menyertai Manchester City selepas tidak lagi menjadi pilihan di Paris Saint-Germain.
Manchester United yang bergelut di awal musim turut dikatakan sudah mencapai persetujuan menandatangani penjaga gol Belgium, Senne Lammens dari Royal Antwerp bagi memperkukuh benteng terakhir mereka.
Namun, tumpuan utama terarah kepada Isak yang berusia 25 tahun, selepas dia menyatakan hasrat mahu meninggalkan Newcastle walaupun masih berbaki tiga tahun kontrak.
Bulan lalu, tawaran awal 110 juta pound (RM629 juta) Liverpool ditolak, malah sejak itu Isak tidak lagi berlatih mahupun beraksi untuk The Magpies.





