
LANGKAH inovasi yang diambil bakal menyaksikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi lokasi menjual aneka juadah makanan pada bulan Ramadan tahun depan.
Ia menjadi kenyataan selepas Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Muhamad Shah Osmin telah mengumumkan SIC dijadikan lokasi terbaharu tapak Bazar Ramadan 2025.
Jelasnya, langkah inovasi ini menyaksikan SIC bukan terhad kepada perlumbaan pemotoran sahaja, tetapi boleh dimanfaatkan untuk menjadi tarikan terbaharu kepada orang ramai sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Menurutnya, pembukaan bazar Ramadan Litar Sepang telah mendapat persetujuan antara MP Sepang dengan pengurusan SIC.
Difahamkan, sebanyak 80 tapak disediakan untuk Bazar Ramadan SIC dan dibuka kepada mereka yang berminat.
Bagaimanapun, Muhamad Shah berkata, jenis hidangan atau juadah bazar yang akan dijual akan diselaraskan oleh MP Sepang dan pengurusan SIC.
“Dari segi hidangan yang akan dijual nanti, kita cuba selaraskan. Sebabnya, kita buka tawaran tersebut kepada semua yang berminat untuk menyertai bazar itu.
“Mungkin dari segi kategori kita boleh wujudkan, dari segi kuantiti juga kita akan tetapkan kuota.
“Kita boleh pelbagaikan jenis juadah dan mungkin akan sediakan kuota untuk makanan atau menu gastronomi.
“Kalau ikutkan, kita telah umumkan beberapa menu gastronomi sebagai makanan warisan Selangor,” katanya seperti dilapor SelangorTV.




