LIMA maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin, dekat Jempol, Negeri Sembilan, malam tadi.
Kemalangan jam 9.05 malam itu membabitkan kenderaan Perodua Axia, Toyota Mark X dan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa Perodua Axia dipandu lelaki berusia 31 tahun bersama tiga penumpang bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Mark X dipandu lelaki berusia 51 tahun masuk ke laluan bertentangan dan bertembung hingga menyebabkan Perodua Axia tersebut berpusing.
“Kemudian datang sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan Perodua Axia tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan pemandu Perodua Axia bersama dua penumpang berusia 18 dan 19 tahun serta pemandu Toyota Marx X cedera parah pada kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Tambahnya, penumpang belakang Perodua Axia berusia 16 tahun pula disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah.
“Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahayakan,” katanya.




