
BERMULA 1 Januari hingga 31 Disember 2026, semua institusi pendidikan swasta termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi, dan pusat latihan tidak lagi dikenakan bayaran levi pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian levi itu akan melibatkan semua kategori institusi pendidikan swasta serta pusat latihan vokasional.
“Buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan memberikan pengecualian penuh levi pendidikan bagi tempoh setahun. Langkah ini diambil setelah menerima banyak rayuan daripada institusi pendidikan dan latihan swasta yang memohon agar bayaran levi ini dikurangkan atau dikecualikan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Kemuncak National Training Week 2025, di ibu negara pada Sabtu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada 1,668 institusi pendidikan dan latihan serta melibatkan pengecualian kutipan levi berjumlah RM46 juta oleh kerajaan.
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, inisiatif ini bertujuan memberikan ruang kepada institusi terbabit untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha meningkatkan mutu pendidikan dan latihan yang ditawarkan.
“Anak-anak kita perlu menerima latihan yang terbaik. Kerajaan akan mencari mekanisme dan dana yang sesuai untuk menyokong usaha ini,” ujar beliau.
Beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) agar memantau rapat institusi terlibat bagi memastikan mereka benar-benar menyampaikan latihan yang berkualiti tinggi.
“Selain itu, saya turut menggesa supaya syarikat swasta yang memperoleh keuntungan tinggi dipantau. Mereka juga perlu bersedia untuk menyumbang kembali kepada para pekerja, walaupun sedikit,” tambah beliau.
Walau bagaimanapun, pengecualian levi ini hanya terpakai kepada institusi pendidikan swasta susulan keputusan kerajaan untuk meluaskan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus kepada perkhidmatan pendidikan swasta mulai Julai 2025.






