PARIT – Seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri hilang ketika memancing di Sungai Tumboh, Seri Iskandar dekat sini sejak petang semalam.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa dikenali sebagai Iswandi Isa, 42, kali terakhir dilihat pada jam 3 petang semalam ketika keluar memancing.
Jelasnya, panggilan berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 1 pagi tadi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan BBP Seri Iskandar ke lokasi.

“Kami terima satu laporan dari pihak polis di mana terdapat seorang lelaki Orang Asli dipercayai telah hilang semasa melakukan aktiviti memancing di Sungai Tumboh.
“Keluarga mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Mereka mendakwa hanya motor serta joran dipercayai milik mangsa sahaja yang dijumpai di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sabarodzi berkata, justeru itu, ketua operasi melaksanakan ‘size-up’ dan mengarahkan anggota membuka Pos Kawalan Bomba (PKB), seterusnya mendapatkan maklumat daripada waris keluarga mangsa yang turut berada di lokasi.




