TAWAU – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandu terbabas lalu merempuh sebuah tiang elektrik di Jalan Yamamoto di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi, mangsa berumur 32 tahun berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu seorang diri dari arah bandar Tawau menuju ke rumahnya di Kampung Hilltop.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah memandu dengan
laju menyebabkan mangsa hilang kawalan pemanduan lalu terbabas ke kanan jalan.
“Motokar mangsa kemudiannya terseret sejauh 50 meter dan melanggar sebuah tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Menurut Jasmin, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa melalui cermin belakang kereta yang telah pecah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Tawau.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






