
MALANG tidak berbau, itu yang dapat digambarkan kepada seorang penyelia ladang yang meninggal dunia selepas dipercayai ‘ditendang’ lembu lalu terhumban dari jambatan kecil jatuh ke dalam sungai.
Siapa sangka jalan yang suasana tenang dan kelihatan selamat dilalui lelaki berusia 53 tahun itu semalam merupakan detik akhir dia menunggang motosikal sehingga meragut nyawa.
Kejadian malang itu berlaku berhampiran ladang sawit di Kerling, Hulu Selangor, pagi semalam.
Ketua Polis Hulu Selangor Superintenden Ibrahim Husin berkata, mangsa lelaki warga tempatan itu ditemukan pekerja ladang pada jam 7.55 pagi di sungai berhampiran Ladang Batu 2, Kerling.

“Penolong pegawai perubatan ladang yang dimaklumkan oleh pekerja itu, bergegas ke tempat kejadian dan menemukan lelaki itu tidak sedarkan diri tetapi masih mempunyai nadi.
“Beliau segera mengarahkan pekerja melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum membawa mangsa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ibrahim berkata, siasatan mendapati terdapat luka pada dahi mangsa dan bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan otak traumatik yang teruk kerana terjatuh dari tempat tinggi, dipercayai terjatuh akibat ‘ditendang’ lembu.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.






