
SANDAKAN – Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah bilik stor rumahnya di Kampung (Kg) Sim Sim, di sini malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP), George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.33 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Balai Polis Sandakan bergegas ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditemukan tergantung dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kejadian disedari ahli keluarga mangsa yang ketika itu berada di rumah sebelum segera menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menghadapi masalah kesihatan.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.



