
KOTA BELUD – Seorang lelaki ditemukan mati lemas selepas melakukan aktiviti menyelam untuk mencari ikan di Sungai Pirasan bersama empat rakannya, awal pagi tadi.
Mangsa Md Affendy Mujah, 29, disedari tidak timbul pada pukul 1.30 pagi ketika sedang menyelam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, rakan mangsa yang juga ahli keluarga menyedari kehilangan mangsa sekitar pukul 1.20 pagi apabila dia tidak timbul di permukaan air selepas kira-kira 10 minit menyelam. Usaha mereka untuk mencarinya turut gagal.
“Bilik Kawalan BBP Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.19 pagi memaklumkan seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika menyelam mencari ikan.
“Sejurus menerima panggilan, pasukan bomba menggerakkan 10 anggota bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah ‘surface search’ dalam radius 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung yang berganding bahu mencari mangsa.

Beliau berkata, mangsa akhirnya ditemukan pada jam 8.30 pagi oleh penduduk kampung berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang.
“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian segera mengangkat mangsa ke tebing sungai sebelum menyerahkannya kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR tamat sepenuhnya pada jam 8.50 pagi selepas mangsa ditemukan,” katanya.






