
PADANG BESAR – Seorang lelaki tempatan ditahan kerana cuba menyeludup 1.2 kilogram ganja bernilai RM2,800 melalui jalan tikus di pagar sempadan Malaysia-Thailand, dalam satu operasi polis di Kampung Kubang Menerung di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asistem Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan sekitar jam 2.30 petang hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar.
“Pemeriksaan ke atas suspek menemui satu kotak berisi plastik hijau yang mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1.2kg.
“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan daripada seorang lelaki warga negara jiran dengan harga RM700 dan dijanjikan upah RM200 untuk menyeludup masuk ganja tersebut ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, suspek yang juga seorang penganggur dipercayai menyeludup ganja itu untuk pasaran di utara Semenanjung Malaysia dan mengakui ini adalah kali pertama dia terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan semakan rekod lampau menunjukkan dia mempunyai enam kesalahan berkaitan dadah sebelum ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman gantung.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 11 Mac hingga 17 Mac 2025 untuk siasatan lanjut.
Mohd Shokri menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu penguatkuasaan undang-undang.




