
KOTA KINABALU – Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas keluar mencari siput bersama bapa mentua di pantai Kampung Kebagu di sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, mangsa dikenali sebagai Marwah Jamiri berumur 45 tahun.
“Menurut pengadu, beliau bersama mangsa (menantu) keluar mencari siput kira-kira pukul 8 malam.
“Mangsa disedari hilang pada pukul 9.30 malam sejurus selepas aktiviti mencari siput selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pada ketika ini pasukan bomba kini berada di lokasi untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Operasi SAR dijalankan dengan kaedah ‘water surface’ oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menggunakan bot penyelamat di kawasan pantai di lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.







