
SARATOK – Cubaan seorang lelaki tempatan untuk mengelak daripada ditahan polis mengundang padah apabila dia akhirnya diberkas dalam satu rondaan pencegahan jenayah pada tengah hari Isnin.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku di antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang ketika dua anggota polis menjalankan rondaan rutin di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Saratok.
Menurutnya, suspek yang berusia 27 tahun itu pada awalnya ditahan atas kesalahan lalu lintas, namun keadaan bertukar tegang apabila lelaki berkenaan enggan memberikan kerjasama.
“Suspek telah bertindak agresif terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
“Bagi mengawal keadaan dan memastikan keselamatan semua pihak, anggota terpaksa menggunakan kekerasan minimum sebelum berjaya menahan serta menggari suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi pemeriksaan terperinci.
Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kes kini sedang disiasat oleh Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Roslinda Utubesar bagi melengkapkan kertas siasatan serta tindakan pendakwaan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan,” tegasnya.







