SARATOK – Seorang lelaki tempatan yang memiliki sembilan rekod jenayah lampau ditahan polis dalam operasi di kawasan Kabong pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok.
Menurutnya, tangkapan dilakukan hasil risikan dan pemeriksaan dijalankan bermula jam 2 petang hingga 7 malam.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Mathew menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan komuniti setempat.





