
KINABATANGAN – Program Jualan Murah Koperasi Usahawan (JMKU) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan jualan keseluruhan sebanyak lebih RM1.24 juta menerusi penyertaan 28 koperasi yang bertindak sebagai pengurus jualan, sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, pada tahun ini, JMKU akan diperluaskan ke seluruh Sabah.
“Sebagai menyahut seruan kerajaan bagi membantu golongan B40, ini memberi peluang kepada mereka untuk memasarkan produk masing-masing dan memperoleh bahan keperluan asas pada harga berpatutan.
“Pelaksanaan JMKU akan memberi manfaat kepada seramai 24,892 orang pengguna dengan penjimatan harga mencecah RM490, 000 sekali gus membantu meringankan kos perbelanjaan rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) Kinabatangan, di Koperasi Pelancongan (KOPEL) Batu Puteh Kinabatangan, pada Rabu.

Mengenai JMKU yang julung kali dianjurkan di Kinabatangan ini, Mohamad memaklumkan jualan ‘Happy Hour’ turut diadakan dengan potongan harga sebanyak 30 peratus dan seterusnya 20 peratus bagi fasa kedua jualan.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyerahkan cek cura sebagai simbolik pinjaman kepada beberapa usahawan sekitar Kinabatangan yang terlibat dalam bakeri, kereta sewa, jualan hasil pertanian serta jualan hasil perikanan.
Mohamad turut memaklumkan sehingga kini, terdapat sebanyak 265 buah kedai koperasi (Coopmart) beroperasi di seluruh Sabah yang berperanan sebagai saluran utama pemasaran produk koperasi dan usahawan tempatan serta medium penyampaian inisiatif jualan berkonsepkan MADANI kepada masyarakat.







