
KABONG – Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun ditahan dalam Operasi Tapis Khas yang dijalankan oleh Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di Pantai Tanjung Kembang pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang dijalankan antara 10 pagi hingga 11 malam itu diketuai oleh Inspektor Wealy bersama anggota Task Force IPD Saratok.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, pasukan kami telah membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Hasil pemeriksaan terhadap beg pinggang miliknya menemui satu peket plastik lutsinar berisi tujuh biji pil disyaki pil nospan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, semua barang kes dirampas dan suspek dibawa ke Balai Polis Saratok bagi tujuan ujian saringan air kencing, namun hasil ujian mendapati suspek negatif dadah.
“Semakan lanjut turut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” jelas beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau menegaskan, polis akan terus mempergiatkan Operasi Tapis Khas dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Saratok dan Kabong.






