
LAWAS – Seorang lelaki tempatan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 252.33 gram dalam satu serbuan di Pos Kawalan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Merapok pada Rabu.
Suspek berusia 49 tahun itu dicekup oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lawas ketika memandu kenderaan dari arah Sabah menuju ke daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, pemeriksaan teliti ke atas kenderaan suspek menemui beberapa bungkusan plastik mengandungi ketulan hablur kristal jernih dan biru disyaki dadah.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM50,000.
“Susulan penemuan itu, polis turut menyita kenderaan yang digunakan suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Liong memberitahu, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Tegas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kesalahan berat yang tidak dibenarkan jamin.
“PDRM akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah di pintu-pintu masuk sempadan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah narkotik ke balai polis berhampiran,” ujarnya.




